KEMPEN SETIA PERAKKU MENDEKATI PENJAWAT AWAM BAWAH KEMENTERIAN DALAM NEGERI



YB Hasnul (tujuh dari kanan) bergambar bersama penjawat awam selepas merasmikan Kempen Setia Perakku Bersama Penjawat Awam Agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Bankuet, Kompleks KDN, Meru.

IPOH: Kerajaan Negeri Perak, semalam buat julung-julung kalinya telah menganjurkan Kempen Setia Perakku yang dijalankan di Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Meru.

Kempen Setia Perakku pada kali ini dijalankan bersama penjawat-penjawat awam yang berkhidmat di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) di negeri Perak Darul Ridzuan. 

Kempen Setia Perakku Bersama Penjawat Awam agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri, Negeri Perak ini disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Perak, YB Hasnul Zulkarnain Abd Munaim.

Beliau berkata selepas setahun kerajaan baru mengambil alih tokok pemerintahan di peringkat persekutuan dan juga di peringkat negeri Perak, pihak mereka menerima beberapa laporan bahawa terdapat kalangan penjawat awam yang mungkin masih lagi ragu-ragu dengan dasar Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri.

Oleh yang demikian, kempen ini dijalankan atas dasar untuk mendekati penjawat awam bagi memperoleh kepercayaan dan kesetiaan daripada para penjawat awam, katanya.

Beliau berkata sedemikian selepas merasmikan Kempen Setia Perakku Bersama Penjawat Awam agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang dihadiri hampir 600 orang daripada pelbagai agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia dan banyak lagi.

Beliau juga berkata, pihaknya telah pun jelajah ke semua daerah untuk bertemu dengan pemimpin masyarakat tempatan terutamanya di peringkat akar umbi bagi mendapatkan maklumbalas dan reaksi mereka serta menjalinkan hubungan yang mesra dengan para pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi.

"Selepas penjawat awam di peringkat negeri, penjawat awam di peringkat Persekutuan yang berada di negeri ini pula akan didekati sebelum kempen ini diperluaskan dalam kalangan belia,"katanya.

"Sehingga kini, kita menerima maklum balas yang positif daripada penjawat awam dan kempen ini nyata mendapat sambutan menggalakkan," katanya lagi.

Ulasan

Catatan Popular