LAWATAN TAPAK AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA JABATAN PERDANA MENTERI



KEADAAN REKAHAN PADA BAHAGIAN BELAKANG KEDIAMAN KAMPUNG PAWONG PADA 23 OKTOBER 2018 (SUMBER:BERNAMA)

SIMPANG PULAI: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Jabatan Perdana Menteri telah melawat tapak kejadian rekahan tanah di kawasan Kampung Orang Asli Pawong, Simpang Pulai, Perak pada petang tadi. Lawatan tapak ini telah dikelolakan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan disertai oleh pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kinta yang diwakili oleh Pegawai Pertahanan Awam Daerah (PPAD) Kinta, KAPT.(PA) Mohammed Ameen bin Salleh Mura besama 1X Pegawai Pasukan dan 1X Anggota, Pejabat Daerah dan Tanah Kinta yang diwakili oleh Pegawai Daerah, Puan Haliza binti Sipun, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta, Pejabat Penghulu Mukim Sungai Raya dan penduduk kampung tersebut yang diketuai oleh Tok Batin Encik Ismail bin Balah.

Kampung Pawong merupakan satu daripada kawasan Kampung Orang Asli di Simpang Pulai, Perak dan kampung ini terletak di dalam daerah Kinta, dan di bawah Parlimen Gopeng. Kedudukan kampung ini adalah sekitar 25 kilometer (km) daripada pekan Simpang Pulai, Perak.  

Selain lawatan tapak, satu sesi perbincangan mengenai keadaan terkini rekahan tersebut diadakan dan sesi perbincangan tersebut telah diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pengurusan Pasca Bencana NADMA, Encik Mohamed Zahari bin Razali dan disertai oleh kesemua agensi yang terlibat dakam lawatan tapak tersebut.Pelbagai cadangan dan buah fikiran disumbangkan pelbagai pihak dan daripada pelbagai kepakaran untuk sama-sama menangani dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh penduduk di kawasan ini


Sesi mesyuarat antara pelbagai agensi dan Timbalan Pengarah NADMA


KRONOLOGI KEJADIAN

Pada 23 Oktober 2018, pada jam 1400 hrs (2.00 petang), terdapat pergerakan tanah atau rekahan tanah di kawasan Kampung Orang Asli Pawong, Simpang Pulai, Perak yang dihuni oleh 77 orang penduduk. Menurut info yang telah disahkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Perak, panjang rekahan cerun adalah sepanjang 50 meter dan bukaan rekahan 1.6 meter serta kedalaman rekahan 1.5 meter. Ketinggian tebing adalah 20 meter dan sudut tebing adalah curam iaitu melebihi 60 darjah.

Kejadian ini juga berpunca dari hujan yang turun sejak beberapa hari yang lalu. Tambahan pua, rumah-rumah yang dibina merupakan diatas bekas tanah yang telah dipotong dan ditambak sebelum ini. Pembinaan rumah PBR ini dilaksanakan pada tahun 2008.

Atas nasihat JBPM dan JMG, 6 buah keluarga yang terdiri daripada 39 orang mangsa yang terlibat telah dipindahkan ke rumah saudara yang berdekatan. Mengikut hasil lawatan sebentar tadi, rumah-rumah tersebut masil belum dihuni semula. Hal ini dikatakan demikian kerana jarak rumah dari muka tebing adalah 10 meter dan terdapat kemungkinan rekahan atau tanah rebak akan berlaku jika hujan masih turun.

Setelah kejadian tersebut, kajian yang diketuai oleh JMG telah berlangsung dan pada masa yang sama JBPM akan terus komited untuk melakukan pemantauan secara berkala agar perkara yang tidak diingini tidak berlaku.






Lawatan Tapak En.Mohamed Zahari bersama pegawai daripada pelbagai agensi di Kampung Pawong, petang tadi

Ulasan

Catatan Popular